Tuesday, May 19, 2015

Pembantu Trafik Tukul Kepala Pemandu Wanita


Qindao (China) – Seorang sukarelawan yang membantu mengawal lalu lintas di bandar di wilayah Shandong menyerang seorang wanita dengan tukul besi kerana mangsa tidak mematuhi lampu isyarat ketika waktu puncak.

Kedua-duanya sebelum itu bergaduh selepas pembantu trafik berkenaan menegur wanita itu yang cuba melintas di persimpangan yang sibuk ketika lampu merah.

Sukarelawan berkenaan kemudian mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala mangsa.
Dia melakukannya berulang kali sehingga mangsa rebah.

Sukarelawan itu tidak melarikan diri dari tempat kejadian, sebaliknya menjerit berulang kali kepada orang ramai: “Saya tidak akan membenarkan sesiapa melanggar lampu merah.”

Menurut akhbar Shanghai Daily, mangsa dibawa ke hospital dan kecederaan yang dialaminya tidak membahayakan nyawanya.

Sukarelawan berkenaan pula ditahan polis untuk disoal siasat.

Tidak mematuhi peraturan lalu lintas menjadi masalah besar di China.

Beberapa bandar raya termasuk Changsha, Shijiazhuang dan Shanghai berusaha menangani masalah itu dengan memalukan pesalah di khalayak ramai.

Beberapa pihak berkuasa tempatan juga mengupah kumpulan sukarelawan bagi membantu polis melaksanakan peraturan jalan raya.

Bagaimanapun, kejadian di Qingdao, semalam dianggap melampau. - KUALALUMPURPOST.NET
Load disqus comments

0 comments