Thursday, September 3, 2015

Memalukan !!! Pasukan Malaysia kalah 10-0 kepada UAE !!!



Abu Dhabi: Kekalahan teruk 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 malam tadi cukup memalukan buat skuad Harimau Malaya dan pengendali Dollah Salleh harus bertanggungjawab dengan keputusan itu.
Ia kali kedua skuad negara diaibkan selepas dibenam 0-6 oleh Palestin pada perlawanan kedua kelayakan Kumpulan A di Stadium Shah Alam Jun lalu.
Walaupun anak buah Dollah Salleh menyatakan semangat untuk bangkit namun hakikatnya mereka bukan tandingan pasukan di ranking ke-70 dunia itu yang berkenduri gol pada babak pertama di Stadium Mohammed Bin Zayed.
Pemain pertahanan Mohanad Salem membuka tirai jaringan pada minit ke-16 melepasi jangkauan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Detik sengsara Harimau Malaya sebenarnya bermula pada minit ke-21 apabila gawang negara dibolosi tiga gol dalam tempoh lima minit menerusi percubaan Ali Mabkhout, Ahmed Khalil (m-23) dan Habib Al Fardan (m-25).
Mendahului 4-0 belum cukup buat anak buah Mahdi Ali yang menduduki tangga ketiga Piala Asia 2015 apabila penyerang Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout sekali lagi menemui sasaran di minit ke-29 dan 33 sebelum Mohamed Gharib (m-39) untuk menjadikan kedudukan 7-0 meskipun Dollah menggantikan Khairul Fahmi dengan Muhammad Zamir Selamat bagi mengawal gawang.
Zamir dikeluarkan dan digantikan dengan Khairulazhan Khalid di minit ke-62 namun skuad The White langsung tidak 'beri muka' kepada anak buah Dollah.
Penyerang Al Ahli Ahmed Khalil melengkapkan hatrik pada minit ke-70 disusuli hatrik peledak Al Jazira Ali Mabkhout pada minit ke-75.
Ahmed Khalil melengkapkan malam bergaya buat UAE dan malam derita buat Malaysia dengan gol ke-10 di minit ke-78.
Ini kekalahan terbesar negara dalam pusingan kelayakan dan terperosok di tangga tercorot Kumpulan A dengan hanya mengumpul satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan Timor Leste.
Selepas ini Malaysia akan berdepan Arab Saudi di Shah Alam pada Selasa depan.

Sumber : Metro Online
Load disqus comments

0 comments