Wednesday, July 1, 2015

Tak guna dilahirkan sebagai TMJ jika duduk dan jadi boneka – TMJ

Tunku Mahkota Johor mempunyai satu prinsip – baginda bukan boneka. Dan oleh itu baginda akan bersuara apabila dirasakan perlu. Pada 5 Jun lalu, beliau memuat naik sebuah tulisan berkaitan dialog isu 1MDB, Nothing to Hide, yang mengundang reaksi keras daripada menteri pusat.


“Tiada gunanya saya dilahirkan sebagai… Tunku Mahkota, jika hanya untuk duduk dan jadi boneka,”
“Tiada gunanya saya dilahirkan sebagai… Tunku Mahkota, jika hanya untuk duduk dan jadi boneka,”
Tulisan baginda juga menarik perhatian luar biasa orang ramai, terutamanya di kalangan pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malaysiakini mengadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim di sebuah hotel mewah di Johor Bahru bagi mengetahui apa sebenarnya yang mendorong baginda bersuara mengenai kegagalan Najib hadir dalam acara itu.

Walau mendapat perhatian ramai, baginda bagaimanapun tetap sederhana dan rendah diri, seperti penampilannya dalam wawancara itu – dengan kemeja T tanpa kolar dan cuma seluar sukan.

Baginda percaya rakyat Malaysia memandang serius kenyataannya bukan kerana sosok baginda tetapi idea yang dikemukakan.

“Ia idea bagaimana mempertahankan apa yang benar. Saya tidak serang sesiapa; saya hanya nyatakan pandangan tentang peranan, tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin sebab rakyat pilih kamu.

“Dan kamu kena faham bahawa peranan ahli politik untuk berkhidmat kepada rakyat,” titah baginda.

Baginda juga diminta menyentuh amaran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdullah agar baginda sedia “dibelasah” jika mencampuri urusan politik.

Tunku Ismail kelihatan sedikit murka dan terkejut kerana kenyataan sebegitu terbit daripada mulut seorang menteri.

“Kamu (Nazri) hanya dedahkan betapa rendahnya pekerti kamu. Kamu seorang menteri, kamu patut berpendidikan dan cakap dengan berhemah. Tetapi akhirnya kamu hanya buktikan kamu tidak layak jadi menteri.

“Saya terkejut melihat betapa bodohnya kamu. Johor merupakan negeri terkuat kamu (bagi Umno) tetapi sekarang kamu sentuh sesuatu yang sangat sensitif di Johor.

“Pada saya, sama ada kamu terlebih yakin atau kosong di sini,” titah baginda sambil menunjuk ke arah kepalanya.

‘Kaya ya, kacak tidak’

Menyentuh perhimpunan orang ramai di Istana Bukit Serene dua minggu lalu, Tunku Ismail mengaku tersentuh dengan sokongan pada baginda dan istana Johor.

“Tetapi ia sentiasa berlaku di Johor sejak zaman almarhum nenda dan ayahanda saya, kerana kami sentiasa rapat dengan rakyat.

“Tiada gunanya jadi pemimpin jika kami tidak boleh dengar suara rakyat, jika tidak boleh tunaikan tanggungjawab dan berkorban untuk mereka.

“Akhirnya cuma satu tujuan, saya dilahirkan sebagai diri saya untuk berkhidmat kepada mereka. Selagi perkara ini melekat dalam kepala saya dan menjadi keutamaan, saya fikir saya berada di landasan yang betul.

“Tiada gunanya saya dilahirkan sebagai… Tunku Mahkota, jika hanya untuk duduk dan jadi boneka,” tegas Tunku Ismail.

Tambahnya lagi, baginda boleh bermewah dengan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah, tetapi itu bukan pilihannya.

“Kami boleh pun duduk di luar negara tanpa bimbangkan apa-apa. Kami boleh duduk bersenang-lenang di London lapan bulan dan tidak ambil peduli apa berlaku kepada Johor,” titah baginda, antara 50 individu terkaya di Malaysia.

Baginda turut ditanya mengenai kenyataan Nazri bahawa baginda tidak dipilih oleh rakyat seperti ahli politik.

Mengulas perkara itu, baginda menegaskan bahawa tanggungjawab seorang putera negeri adalah untuk berkhidmat.

“Apa saja dia (Nazri) hendak kata itu pandangan dia. Jujur saya kata dia bukan bijak sangat,” titah baginda yang menyambut hari keputeraan ke-31 semalam.

“Saya ada baca kenyataan dia bahawa ‘orang ramai suka saya kerana saya seperti bintang Hollywood, kaya, berkuasa dan kacak’.

“Kaya, ya. Berkuasa, mungkin. Kacak tidak. Kamu boleh tulis begitu, saya tidak kisah.

“Semua ini tunjukkan betapa sombongnya kamu. Tong kosong memang bunyi bising. Itu pesan ayahanda saya,” sindir baginda.

Tunku Ismail juga mendedahkan bahawa ayahanda baginda, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail turut kecewa dengan Nazri, seorang menteri yang terkenal dengan kelantangannya.

“Ayahanda saya kata, kamu sudah kata apa kamu mahu kata, sekarang biarkanlah, jangan terheret lagi. Biarlah mereka buat apa mereka hendak jika mereka mahu gali lubang untuk kubur sendiri. Kamu hanya fokus pada Johor.” - MalaysiaKini

Load disqus comments

0 comments