'ANAK AKU HAMPIR DICULIK DI MAHKOTA PARADE MELAKA!'
Apa yang aku nak cerita ini, mungkin panjang lebar tetapi aku nak kongsikan juga pengalaman aku hilang anak.
Please alert bagi sesiapa yang ada anak berusia 2 - 3 tahun ke atas.
Please! Please! Please!
Kalau ke mana-mana di mana-mana anda pergi, anak jangan sesekali terlepas dari tangan atau pandangan. Perkara yang aku dengar, baca di sana sini sudah terjadi pada aku sendiri.
Perkara ini terjadi di dalam Mahkota Parade, Melaka. Aku pergi bercuti dalam tiga buah keluarga. Sebelum nak balik, kami semua bersetuju untuk singgah beli apa yang patut.
Anak aku, Sofea, dia ini rapat dengan sangat-sangat dengan Wawan dia (ibu aku). Jadi dia didukung oleh neneknya. Setibanya di mall, nenek turunkan dia dan pegang tangan dia sepanjang jalan sampailah ke satu kiosk, kami berhenti.
Di kiosk itu ada menjual pelbagai macam biskut. Jadi, Sofea nak biskut, ibu aku belikan dan bayar. Pada masa itu, ibu lepaskan tangan dia. Suami aku pula sibuk juga nak membeli.
Tak sampai lima minit, kami baru tersedar yang Sofea tiada berdekatan dengan kami.
Aku, mak budak, hati mana yang nak tenang bila ditanya pada semua mana Sofea, semua jawab tak tahu.
Semua mula mencari Sofea. Aku dengan mendukung adik Sofea, aku hulur pada nenek yang paling dekat dengan aku. Bersungguh-sungguh aku berlari mencari Sofea.
Seorang demi seorang beritahu yang mereka perasan ada seorang budak perempuan pakai reben hitam berjalan melulu pergi ke pintu keluar.
Mulut aku tak berhenti menjerit-jerit memanggil nama Sofea. Aku dah tak fikir apa yang orang nak kata apa. Kepala lutut aku dah mengigil, mata aku dah berkaca, hati aku dah menangis.
Tiba di pintu luar, aku tak nampak pula bayangan anak aku sampailah mata aku tertumpu pada sekumpulan perempuan dan salah seorang daripada mereka menunjuk ke arah aku dan terus melambai aku.
Aku nampak Sofea dengan salah seorang daripada mereka. Sofea senyap dan tidak menangis. Siapa yang kenal anak aku, dia bukan jenis budak yang nak ikut-ikut orang yang tidak dikenali. Kalau orang tegur pun, dia akan menjerit.
Tetapi pada masa itu, bila aku cuba ambil dia dari wanita itu terus aku bertanya "Sofea pergi mana?". Satu jawapan pun tidak diungkapkan dari mulutnya. Sehinggalah aku tepuk muka dia tiga kali, Sofea tenung tajam pada aku terus sebut "Mama!" dan menangis.
Menurut wanita itu, Sofea berjalan melulu mengikut seorang wanita Cina berusia lingkungan 40'an. Curiga dan tidak sedap hati dengan keadaan itu, wanita terbabit terus menarik tangan Sofea. Wanita Cina itu pula menoleh ke arah mereka dan terus lari keluar dari mall.
Mungkin Allah dah hantar orang untuk menyelamatkan Sofea. Mungkin Allah dah gerakkan hati dia untuk tolong Sofea menyebabkan dia terus menarik anak aku cepat-cepat dan dukung.
Syukur, tak terbalas budi wanita penyelamat Sofea. Katanya, Sofea juga pada masa itu seperti dalam keadaan tidak sedar. Bila ditanya pelbagai soalan, Sofea juga tidak menjawab sehinggalah aku sampai di tempat kejadian itu.
"Terima kasih kepada kakak dan kawan-kawan dia yang prihatin dan terima kasih kepada Allah yang masih nak menolong aku,".
Apa yang aku nak cakap ialah, Sofea mungkin telah dipukau berdasarkan keadaan dia ketika ditemui. Aku kenal anak aku 200%, tak mungkin dia nak ikut sesiapa dan jalan tak tentu arah. Anak aku jenis penakut, kuat menangis, kuat menjerit.
Tolong ye, jangan ambil mudah dengan apa sahaja yang kita buat di mana-mana pun anda berada. Peka dengan keadaan sekeliling. Sekarang, penjenayah tak perlu culik dengan kasar, dengan cara halus pun mereka boleh buat. - Nurul Suhaimi
Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
0 comments