Wednesday, September 2, 2015

TRAGIS !! Dua Beradik Lemas Di Air Terjun Batu Berangkai

Lemas
Kampar – Dua beradik lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Batu Berangkai, di sini.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa mandi di kawasan air terjun berkenaan bersama lima rakan yang lain.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, dua beradik berkenaan dikenali sebagai N Yogen, 22 dan abangnya N Kannan, 23, dan berasal dari Taman Sentosa, Klang.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bersama lima rakan bergerak dari Klang ke Tapah, Perak untuk menghadiri pertunangan abang seorang daripada rakannya pada 30 Ogos dan hari ini (31 Ogos) pada kira-kira 3.30 petang mereka ke Air Terjun Batu Berangkai di sini untuk mandi.
“Bagaimanapun pada kira-kira 6 petang Yogen lompat ke dalam air dan sejurus itu terus meronta-ronta kerana hampir tenggelam.
“Mangsa cuba dibantu oleh rakannya yang ketika itu berada dalam air, namun gagal.
“Melihat keadaan itu, abang mangsa (Kannan) terjun untuk menyelamatkannya, namun gagal dan kedua-duanya tenggelam ke dalam air,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemui dan dibawa keluar pada kira-kira 7 petang oleh pasukan bomba.
“Pada masa kejadian hujan lebat menyebabkan kerja mengeluarkan mayat dari menjadi sukar. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.
“Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan mereka bertolak dari Klang, 9 malam tadi,” katanya.
Menurutnya, Yogen adalah penuntut Universiti Multimedia (MMU) jurusan Teknologi Maklumat, manakala abangnya baru sahaja tamat pengajian di UNISEL, lapor Harian Metro.

Load disqus comments

0 comments