KUALA LUMPUR: Banjir besar yang melanda Kelantan, khususnya Stadium Sultan Muhammad IV berpunca daripada parti pembangkang PAS yang mendoakan kejatuhan Umno dan Barisan Nasional (BN), dakwa Datuk Bung Moktar Radin.
Dalam perbahasannya semasa usul menjunjung kasih dan perbahasan titah Diraja, Ahli Parlimen Kinabatangan ini mengecam PAS kerana menuduh kerajaan Persekutuan tidak menghulurkan bantuan ketika banjir melanda negeri itu akhir tahun lalu.
"Umno sering dituduh sebagai kejam tetapi kita masih pergi ke Kelantan untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Apabila kamu berdoa untuk kemusnahan Umno di stadium itu yang tidak pernah dilanda banjir selama beratus-ratus tahun, tiba-tiba stadium itu juga dilanda banjir," kata Bung di Parlimen, Khamis.
PAS sebelum ini pernah mengadakan solat jemaah mendoakan kejatuhan parti Barisan Nasional di stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada November 2012.
Tambah beliau, Menteri Besar Kelantan mengakui sendiri tidak dapat melakukan sebarang tindakan sewaktu berlakunya banjir di sana sebelum Umno datang menghulurkan bantuan.
Beliau juga menyatakan bahawa agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) telah membelanjakan hampir RM13 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut.
Sumber - MStar
0 comments