Wednesday, March 18, 2015

7 Kelebihan Mengandung, Ibu Hamil Mesti Tahu!


Apakah Kelebihan Mengandung?

Lumrah bagi pasangan yang sudah mendirikan rumahtangga mahu mendapatkan zuriat keturunan mereka. Kehamilan adalah tanda anda bakal dapat menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Selain bercakap tentang soal menimang cahaya mata, kali ini kita akan membincangkan tentang manfaat yang diperolehi jika anda sedang mengandung!

1. Tiada lagi senggugut

Wanita hamil tidak didatangi haid. Justeru, selamat tinggal senggugut! Berita gembira buat pasangan yang merancang anak melalui kaedah semulajadi. Anda tidak perlu lagi risau melakukan hubungan intim tanpa perlu lagi melihat kalendar!

2. Terasa berseri-seri

Dengan kata lain, mungkin juga terasa lebih seksi. Pengaruh hormon estrogen dan progesteron sepanjang kehamilan menyebabkan berlaku perubahan fizikal terutama pada bahagian payudara. Gunakan kesempatan ini untuk memikat hati suami anda.

Alasan untuk menolak melayani suami ketika hamil amat tidak wajar. Hal ini boleh dimaafkan ketika kehamilan pada trimester pertama kerana anda letih dan muntah. Manakala pada trimester ketiga perasaan tidak selesa disebabkan saiz perut yang membesar. Namun, yang pasti bayi tidak sesekali akan tercedera semasa anda melakukan hubungan intim.

3. Keyakinan diri meningkat

Sesetengah wanita berasa kurang yakin ketika hamil kerana merasakan tubuh badan mereka yang membesar dan kelihatan gemuk. Anda seharusnya bersyukur kerana ia dapat menyingkirkan tanggapan orang yang mengatakan anda mandul.

Selain itu, kejayaan melahirkan bayi samada secara normal atau pembedahan akan memberikan suatu kekuatan baru kepada wanita. Bersyukurlah!

4. Selera makan bertambah

Pada peringkat awal kandungan, anda akan berasa loya dan muntah-muntah disebabkan deria yang lebih sensitif daripada biasa. Ia boleh sahaja berpunca daripada bau tumis masakan, bau wangian atau bau badan suami.

Setelah kandungan memasuki trimester kedua, badan anda telah mula serasi dengan perubahan hormon ketika hamil. Disebabkan ini juga, ibu hamil biasanya terasa mengidam mahu makan sesuatu makanan.

5. Kurang risiko kanser

Menurut kajian pakar, kehamilan memberi bentuk perlindungan kepada wanita daripada berlakunya kanser payudara dan ovari. Beberapa kajian juga mendapati, penyusuan penuh susu ibu selama 2 tahun dapat mengurangkan risiko sesetengah kanser kepada wanita.

Subhanallah!. Hal ini telah Allah s.w.t perintahkan kepada wanita supaya menyusukan anak mereka selama 2 tahun seperti yang terkandung dalam surah Al-Baqarah ayat 233.

6. Suami lebih sayang

Masa inilah kita boleh rapat lagi dengan suami. Jika mahu tengok suami sayang atau tidak, minta dia urutkan badan, urutkan kaki dan picit-picit belakang. Kalau rasa penat, minta suami kemaskan rumah. Jika mengidam, minta suami carikan apa yang kita mahu.

Tidak lakukan semua itu, tidak semestinya suami tidak sayang. Kadang-kadang, lelaki tidak tunjukkan kasih sayang secara direct. Islam juga menggalakkan suami lebih menyayangi dan menjaga isteri yang sedang hamil.

7. Peluang mendekatkan diri pada Allah s.w.t

Sepanjang hamil, wanita terpelihara suci dan tidak didatangi haid. Tempoh ini adalah saat yang sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan berlaku perubahan yang lebih baik sebagai seorang muslimah.

Tidak semua wanita berpeluang hamil, usah persia-siakan anugerah ini. Dekatkan diri kepada Allah s.w.t dan panjatkan kesyukuran kepadaNya. Usah layankan gangguan emosi yang biasa terjadi sewaktu hamil seperti menangis atau marah-marah tanpa sebab.




Load disqus comments

0 comments