Gambar Hiasan |
Kakak saya, kakitangan kerajaan. Waktu mula bekerja jam 8 pagi, habisnya pada jam 5 petang. Tempoh bekerja 8 jam dengan pendapatan sebanyak RM2,800+ sebulan.
Apabila kakak pulang ke kampung, dia gemar bercakap besar akan jawatan dan kelebihan bekerja dengan kerajaan sehingga tidak menyedari ada kata-katanya menguris hati kami adik beradik. Adakalanya kami terpaksa mendengar dan mengiyakan saja.
Kakak baru bekerja hampir setahun, sudah mampu membeli Proton Saga BLM. Namun, masa untuk dirinya menikmati hidup adalah sangat terhad, apatah lagi nak menjejakkan kaki ke tanah suci. Hidupnya terikat dan terbatas, kasihan kakak.
Saya tak bekerja dengan kerajaan. Saya hanya berniaga nasi lemak di tepi jalan raya sahaja. Saya mula bekerja pada jam 6 pagi sehingga 10 pagi. Selepas itu, balik berehat dan uruskan hal-hal rumah.
Setiap hari, hanya 4 jam sahaja bekerja sudah mampu meraih pendapatan sebanyak RM200, paling minima.
Namun setelah setahun berniaga nasi lemak, saya mampu membeli Honda City. Alhamdulillah, saya juga dapat melancong ke luar negara termasuk Mekah, selang tiga tahun sekali. Selain itu, dapat juga membeli tanah, dan hantar ibu dan ayah menunaikan umrah setiap tahun.
Kakak? Setiap kali di tengah-tengah bulan, dia pasti akan menghubungi saya untuk meminjam duit.
Saya bukan nak riak, nak menunjuk atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Cuma, kerja berniaga ini sangat mengujakan bagi saya kerana tidak perlu terikat dengan sesiapa.
Kepada mereka yang kerja-kerja pejabat tak kira kerajaan atau swasta, usahlah memandang rendah pada orang yang berniaga di tepi jalan. Hakikatnya, poket mereka jauh lebih tebal dari poket anda yang sentiasa kering di tengah bulan.
Orang yang sombong adalah orang yang mendapat sedikit nikmat tetapi bermegah-megah dengan nikmat yang sedikit itu.
Moralnya, usah dipandang rendah pada pekerjaan orang lain. Ini kerana rezeki halal yang mereka perolehi itu mungkin lebih berkat daripada gaji kita. Rezeki yang diberkati sentiasa cukup walaupun nampak tidak seberapa.
0 comments